<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d4906066174540588379\x26blogName\x3dBB2008-misstique\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://bb2008-misstique.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://bb2008-misstique.blogspot.com/\x26vt\x3d5183804352941709263', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>


Saturday, July 26, 2008
"Anak dara tidak boleh bernyanyi di dapur, nanti jodohnya merupakan seorang lelaki tua"

Jika kita terdengar pernyataan seperti ini hari ini, pasti yang telintas di fikiran ialah orang yang membuat pernyataan tersebut amat kuno. Apa hubungan antara bernyanyi dan jodoh?

Benar, orang-orang pada zaman dahulu suka memberi nasihat menerusi pantang-larang. Namun, zaman ini orang-orang Melayu lebih perpendidikan dan mula faham maksud tersirat yang sebenarnya di sebalik pantang-larang tersebut. Dalam pantang tadi, ibu-ibu tidak mahu masakan yang sedang dimasak hangus kerana kelalaian anak mereka. Ini amat penting lebih-lebih lagi kerana hidup pada zaman itu amat sederhana.

Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna pantang larang sudah tidak relevan pada hari ini. Mungkin alasan yang diberikan tidak masuk dek akal, tetapi kita boleh mencontohi cara nenek moyang kita mendidik anak-anak mereka, iaitu secara beralas. Itu yang dapat kita contohi hari ini. Kita tidak harus memarahi belia, tetapi beralas dalam nasihat kita. Hal ini amat penting kerana zaman peralihan daripada kanak-kanak kepada orang dewasa harus dilalui dengan penuh cabaran. Jika kita menunjukkan amarah, ia tidak akan membantu, malah akan menyulitkan belia tersebut mengharungi onak dan duri kehidupan. Secara tidak langsung, ia dapat mengekalkan pantang-larang Melayu.
6:44 PM

Pantang larang sering dipraktikkan pada zaman nenek moyang kita. Tanpa disedari, ia telah banyak membantu mereka menjalani hidup sehari-hari. Pelbagai contoh dapat dilihat, salah satu daripadanya ialah 'Kita tidak boleh membuka payung di dalam rumah, nanti ular datang'. Sebenarnya, bukan alasan ular yang mendorong mereka melarang kanak-kanak membuka payung di dalam rumah. Lebih tepat sekali, mereka tidak mahu ada musibah yang terajdi. Ini adalah kerana hujung payung amat tajam dan keluarga pada zaman itu amat besar. Jika payung itu dimainkan di dalam rumah, kemungkinan hujung payung tercucuk mata salah satu ahli keluarga amat tinggi. Ini akan membawa beban kepada keluarga tersebut kerana harus mencari rawatan doktor. Jelas sekali, pantang larang dapat membantu orang-orang dahulu menjalani hidup.
6:21 PM

Bahasa amat penting dalam kehidupan kita. Ia bukan sahaja menonjolkan keperibadian kita, ia juga melambangkan masyarakat yang bertutur dalam bahasa tersebut. Tanpa bahasa, lenyaplah bangsa. Tanpa bangsa, apa gunanya budaya? Lantas, mengekalkan sesuatu bahasa itu amat penting.

Penggunaan Bahasa Melayu baku hanya digunakan di majlis-majlis rasmi, seperti pelancaran sesuatu program ataupun di kelas Bahasa Melayu. Kita sering bertutur dalam Bahasa Melayu yang kurang rasmi, atau lebih dikenali sebagai bahasa pasar.

Tidak dapat dinafikan bahawa agak janggal bertutur secara baku untuk hal-hal yang tidak formal. Ini ditambah lagi dengan adanya dialek. Namun, sekurang-kurangnya kita harus bertutur dalam bahasa Melayu yang baku.

Sebagai permulaan, kita oleh menghentikan kebiasaan kita mencampuradukkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Selain dari itu, sekolah-sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat bertutur bahasa Melayu baku di kalangan pelajar. Ini lebih-lebih lagi kerana pelajar hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Di peringkat yang lebih tinggi pula, program secara besar-besaran boleh dilancarkan. Satu contoh ialah Bulan Bahasa yang diadakan sekai di setiap dua tahun di sini. Pada tahun ini, cogan Bulan Bahasa 2008 ialah 'Sempurnakan Bahasa. Gunakan Sentiasa'. Hal ini amat releven hari ini kerana semakin ramai anak Melayu yang kurang fasih berbahasa Melayu. Jesteru, setiap individu harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan bahawa Bahasa Melayu dapat dikekalkan.
6:04 PM


Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi bangsa kerana bahasa


Bahasa melambangkan bangsa. Bangsa pula mencerminkan budaya. Oleh itu, orang Melayu hendaklah sering menggunakan bahasa Melayu supaya budaya kita tidak luput. Hari ini, kita sering mendengar orang bertutur dengan mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ini lebih dikenali sebagai bahasa 'rojak'.

Kita harus mengurangkan kebiasaan ini agar kita akan lebih fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Sedikit sebanyak ia dapat melestarikan bahasa Melayu. Lantas, budaya Melayu juga dapat dikekalkan dan ia akan tetap teguh tanpa dipengaruhi oleh budaya lain. Ini amat penting agar kita dapat memastikan bahawa budaya Melayu

Tak lapuk dek hujan
Tak lekang dek panas
3:38 AM

Di entri sebelum ini, saya menyatakan bahawa permainan congkak memerlukan perhatian dan kejujuran. Ini adalah kerana jika pihak lawan tidak memberi tumpuan sepenuhnya pada bila-bila masa sahaja, kita boleh mengambil kesempatan untuk meletakkan buah congkak ke dalam 'rumah', lantas memberi kita peluang yang lebih besar untuk menang. Dalam permainan ini, dua pemain akan meletakkan buah congkak ke dalam kampung dan rumah induk dalam urutan putaran jam. Dahulu, biji getah digunakan sebagai buah congkak, tetapi kini, guli pula digunakan. Pada akhir permainan, pemain yang mempunyai buah paling banyak di dalam rumah mereka menang pusingan tersebut. Oleh itu, jika salah seorang pemain kurang memberi tumpuan dan seorang lagi tidak jujur, amat mudah untuk pemain kedua menang. Jelas sekali, daya perhatian yang tinggi dan kejujuran diuji dalam permainan congkak ini.

Permainan congkak harus tetap dimainkan sungguhpun zaman semakin moden dan permainan digital lebih digemari belia hari ini. Ini kerana permainan congkak merupakan salah satu permainan tradisional Melayu. Jika kita tidak mengambil langkah-langkah yang wajar untuk melestarikan permainan ini, kita tidak boleh terkejut jika suatu saat nanti permainan ini akan luput ditelan zaman, di mana para belia Melayu tidak kenal dengan permainan tradisional mereka sendiri. Hal ini akan memalukan masyarakat Melayu hari ini kerana kita yang tidak mengendahkan perkembangan budaya Melayu kita sendiri, sehinggakan permainan yang sepatutnya mengisi masa lapang kita tidak dimainkan lagi.

Para belia hari ini harus mengambil inisiatif untuk mempelajari bagaimana congkak dimainkan. Mereka boleh melakukannya dengan bertanya kepada datuk nenek atau ibu bapa mereka. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan sesi bermain permainan tradisional Melayu atau pertandingan permainan tradisional Melayu. Ini akan mencetuskan minat belia dalam bidang ini. Walau apapun caranya, setiap individu harus memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan permainan tradisional Melayu.
2:40 AM

Sedang saya mengemas bilik, saya terjumpa papan congkak dan satu beg berisi guli. Saya teringat waktu saya kecil dahulu, saya sering bermain congkak dengan saudara-mara saya. Kita seringkali tidak menyedari bahawa telah berjam-jam lamanya kita bermain kerana terlalu khusyuk.

Pada hari Rabu lepas, saya membaca dua artikel mengenai permainan congkak. Rupa-rupanya, permainan tradisional Melayu ini mula-mula dimainkan oleh golongan raja di istana. Puteri-puteri raja sering meluangkan masa bermain pelbagai jenis permainan, dan salah satu daripadanya ialah permainan congkak. Dengan peredaran masa, kepentingan status di kalangan masyarakat Melayu semakin berkurangan. Lantas, rakyat biasa mula meluangkan masa di istana dan bermain bersama mereka. Dengan begitu, permainan congkak mula berkembang ke kalangan rakyat biasa. Ini menjadikan permainan congkak salah satu permainan tradisional Melayu, yang dimainkan oleh masyarakat Melayu secara am.

Setelah berabad-abad lamanya, kita kini boleh lihat permainan congkak dimainkan di mana-mana, tidak kira siapa yang bermain ataupun di mana. Yang pasti, siapa sahaja boleh menikmati permainan yang memerlukan perhatian dan kejujuran ini.
1:18 AM


Thursday, July 24, 2008
Gotong-royong amat penting dalam kehidupan kita sebagai orang Melayu. Sebagai ciptaan Tuhan, kita harus saling bantu-membantu sesama insan tatkala senang mahupun susah. Sifat keprihatinan kita harus ditonjolkan kepada mereka di sekeliling kita tanpa mengira bangsa atau agama.

Adat gotong-royong ini telah lama dipraktikkan oleh orang Melayu. Dari zaman nenek moyang kita, setiap kali ada majlis, pasti saudara-mara, sahabat-handai dan jiran tetangga akan turut sibuk. Daripada memasak, mengemas dan menghiaskan ruang, pasti ada yang membantu. Budaya ini bukan sahaja mengurangkan beban tuan rumah tetapi ia juga menguatkan tali silaturrahim di antara mereka. Hubungan yang terjalin semakin mesra dan dapat mengurangkan kemungkinan hal-hal buruk daripada terjadi.

Sungguhpun zaman semakin moden, kita tidak patut mengabaikan budaya bergotong-royong. Ini kerana, kita harus terus saling bantu-membantu. Dengan sikap ini, kita dapat mengekalkan suasana yang aman. Kita dapat melestarikan budaya gotong-royong ini dengan membantu saudara-mara atau sahabat-handai dalam menyerikan majlis mereka. Jika majlis perkahwinan akan dilangsungkan, kita bolehlah membantu menyiapkan kuih sebagai juadah tetamu atau menjadi kendarat untuk menyajikan makanan untuk mereka. Pada hari-hari biasa pula, kita boleh saling membantu menyediakan makanan atau membereskan kerja rumah seperti mencuci atau menyidai pakaian. Hal-hal kecil sebegini secara tidak langsung dapat mengekalkan budaya gotong-royong di kalangan orang Melayu.
8:34 AM


Wednesday, July 23, 2008
Hari Raya Aidilfitri akan tiba tiga bulan lagi. Kanak-kanak riang gembira mendapat duit raya atau zakat. Ibu bapa mereka pula ghairah dapat bersua dengan saudara-mara yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Ada sesetengah orang yang akan mengubah elok rumah manakala ada pula yang akan menggantikan kerusi atau langsir dengan yang baru. Yang pasti, suasananya sungguh meriah.

Santapan pada pagi raya pula biasanya makanan tradisional Melayu, iaitu lontong, ketupat dan lemang. Lauk-pauknya pula rendang daging, ayam masak merah dan sambal goreng. Itulah yang biasanya disajikan. Jika makanan lain yang disajikan, pasti janggal rasanya.

Makanan tradisional Melayu sebenarnya penting. Ia merupakan ciri khas orang Melayu. Hari ini, tidak susah mencari makanan-makanan tersebut. Pergi saja ke Geylang Serai, pasti berbaris-baris kedai menjual makanan tradisional Melayu kelihatan. Intinya, kita harus berbangga dengan makanan tradisional kita.

Mungkin ada yang berkata bahawa mereka kurang selesa dengan budaya Melayu yang mengongkong kita dengan alas bicara, kelembutan dan sopan santun. Hakikatnya, lontong dan sambal goreng juga yang dicarinya pada pagi hari raya. Oleh itu, anak-anak muda seperti saya harus belajar memasak makanan tradisional daripada ibu atau nenek kita supaya kita boleh meneruskan warisan nenek-moyang kita kepada generasi yang akan datang.
2:53 AM


Tuesday, July 8, 2008
Assalamualaikum! (menghulurkan tangan untuk bersalam)

Sebagai orang Melayu, itulah yang kita sering lakukan. Bertegur sapa dan bertanya khabar. Setiap kali bertemu, pasti adat bersalam ini kita praktikkan. Dari dulu, nenek moyang kita sudah terbiasa beramah mesra dengan kenalan mereka. Hingga hari ini, tanpa disedari, kita masih memberi salam dan berjabat tangan. Yang berlainan ialah cara kita melakukannya.

Dahulu, nenek moyang kita bertegur sapa dengan sopan santun. "Assalamualaikum! Apa khabar? Keluarganya semua sihat?"

Sekarang pula, dalam arus globalisasi yang semakin ketara, lain pula caranya. "Eh, hi! What's up?"

Jelas sekali perbezaannya. Dahulu, sopan santun dan bahasa Melayu digunakan tetapi sekarang, belia hari ini lebih gemar bertegur sapa dengan menggunakan Bahasa Inggeris.

Para belia hari ini sepatutnya berubah sikap dan lebih menggunakan bahasa melayu untuk bertutur agar adat bersalam orang Melayu dapat dilestarikan. Jika kebiasaan ini tidak diubah, adat Melayu mungkin akan hilang.
6:34 AM


Monday, July 7, 2008
hello hello.

Budaya Melayu indah sekali
Mari bersama melestarikannya
Pengaruh luar usah diikuti
Agar budaya sepanjang masa kekal jua


Pelestarian Budaya Melayu.
Di sinilah ia bermula.
4:25 AM

Siapa?
Nur Atiqah Bte Hairodin
Maktab Rendah Tampines

Lelaman lain
  • Bulan Bahasa
  • Blogging
    Arkib
    'July 2008'
    Penghargaan
    picture design: © Alexander Karpenko 2005 | aikart@pisem.net or AiK-art
    skin: slayerette
    image font: adine kirnberg script