Wednesday, July 23, 2008
Hari Raya Aidilfitri akan tiba tiga bulan lagi. Kanak-kanak riang gembira mendapat duit raya atau zakat. Ibu bapa mereka pula ghairah dapat bersua dengan saudara-mara yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Ada sesetengah orang yang akan mengubah elok rumah manakala ada pula yang akan menggantikan kerusi atau langsir dengan yang baru. Yang pasti, suasananya sungguh meriah.
Santapan pada pagi raya pula biasanya makanan tradisional Melayu, iaitu lontong, ketupat dan lemang. Lauk-pauknya pula rendang daging, ayam masak merah dan sambal goreng. Itulah yang biasanya disajikan. Jika makanan lain yang disajikan, pasti janggal rasanya.
Makanan tradisional Melayu sebenarnya penting. Ia merupakan ciri khas orang Melayu. Hari ini, tidak susah mencari makanan-makanan tersebut. Pergi saja ke Geylang Serai, pasti berbaris-baris kedai menjual makanan tradisional Melayu kelihatan. Intinya, kita harus berbangga dengan makanan tradisional kita.
Mungkin ada yang berkata bahawa mereka kurang selesa dengan budaya Melayu yang mengongkong kita dengan alas bicara, kelembutan dan sopan santun. Hakikatnya, lontong dan sambal goreng juga yang dicarinya pada pagi hari raya. Oleh itu, anak-anak muda seperti saya harus belajar memasak makanan tradisional daripada ibu atau nenek kita supaya kita boleh meneruskan warisan nenek-moyang kita kepada generasi yang akan datang.
2:53 AM